Meski pun terdapat bantahan mengenai penilaian harga tanah Kampung Bharu oleh kerajaan dalam projek pembangunan semula kawasan itu namun 90% daripada mereka yang memulangkan borang bersetuju dengan tawaran RM850 sekaki persegi.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) menerima 700 hingga 800 borang daripada penduduk kampung tersebut.
“Setakat ini, kita dimaklumkan ada 700 hingga 800 borang yang dikembalikan kepada PKB dan daripada jumlah itu, lebih 90% setuju dengan tawaran dikemukakan kerajaan,” katanya dalam program Ruang Bicara Bernama News Channel (BNC), malam tadi.
Mengenai terdapat pihak yang meletakkan kadar sehingga RM2,000 bagi setiap satu kaki persegi di kawasan itu, Khalid menegaskan kadar yang ditawarkan kerajaan berpandukan kepada penilaian ditentukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.
“Ia merupakan harga yang berdasarkan penilaian profesional.
“Kampung Baru terbuka kepada sesiapa, siapa sekalipun boleh buat tawaran bukan sekadar kementerian dan kerajaan, mana-mana pihak yang rasa harga tanah RM2,000 (bagi setiap satu kaki persegi) dan ada kemampuan dia boleh beli, tidak ada siapa yang halang,” katanya.