Teka-teki kemungkinan PM Tun Mahathir akan membawa masuk partinya, Bersatu ke dalam perikatan Muafakat Nasional dan membentuk kerajaan dominasi Melayu berakhir hari ini apabila beliau mengeluarkan kenyataan menolak inisiatif seumpama itu.
Semalam, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dalam hantaran di Facebooknya menawarkan kepada Tun agar Bersatu menyertai Umno dan Pas meninggalkan Pakatan Harapan untuk membentuk koalisi baharu pemerintah.
Penolakan Mahathir itu kerana Malaysia negara berbilang kaum dan kerajaan dominasi Melayu bakal menimbulkan banyak masalah kepada kaum-kaum lain.
“Kita tidak minat untuk membuat kerajaan baru. Kita sedar negara kita adalah negara berbilang kaum dan pihak kerajaan daripada kita merdeka sehingga sekarang mempunyai ahli yang terdiri daripada semua kaum.
“Itu sesuatu hakikat yang kita tidak boleh tolak bahawa negara kita adalah negara berbilang kaum dan semua kaum mempunyai hak dalam negara kita,” katanya dipetik Malaysiakini.
Ahad lalu, penganjuran Kongres Maruah Melayu dihadiri pemimpin Umno, PAS dan Pakatan Harapan diketuai Mahathir yang mengetepikan perbezaan politik demi matlamat lebih besar dalam usaha mengembalikan martabat bangsa di Malaysia yang merupakan kaum majoriti.
Antara pemimpin hadir adalah Presiden Pas Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussien dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Noh Omar, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali. – RF8 Media