Kerjasama antara Pas dan Umno biarpun telah hampir sebulan dimeterai namun tidak banyak perubahan yang dilihat dalam gerak kerja bersama antara parti-parti terbabit
Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, sekiranya muafakat itu gagal diterjemahkan kepada membentuk kerajaan campuran di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis maka keyakinan rakyat melihat kedua-duanya akan membentuk kerajaan Persekutuan yang kuat juga diragui.
Manakala masalah di peringkat akar umbi, kata beliau, kerjasama itu masih kurang diterima di peringkat bawahan berbanding pemimpin atasan kedua-dua parti
“Penerimaan di Pantai Barat dengan Pantai Timur atau pun Selatan dan Utara berbeza. Kalau di Pantai Timur dan Utara, asasnya (majoriti) orang Melayu, meletakkan penerimaan yang baik kerjasama ini.
“Namun sebahagian daripada segmen orang Melayu di kawasan Utara dan Timur itu juga tidak menerima sepenuhnya.
“Sebagai bukti, kita lihat baru-baru ini Presiden Pas Hj Hadi mengatakan bahawa selepas menandatangani piagam itu dia nak bina kerajaan campuran tetapi ditarik balik selepas itu. Bermakna mereka tidak sedia lagi,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Menurut Mazlan, hal itu turut diakui Naib Presiden Pas yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Nik Amar Abdullah dalam kenyataannya, bahawa kerjasama yang terjalin hanya MoU politik longgar dan tidak menjangkaui ke peringkat kerajaan campuran.
Dalam pada itu, Mazlan juga berpendapat, kerjasama atas nama ummah agak kurang diterima masyarakat bukan Islam.
“Piagam Pas-Umno menyebabkan orang bukan Islam tersinggung. Orang bukan Islam ini bukan sahaja Cina, India, malah di Sabah dan Sarawak.
“Perlu diingat bahawa politik Malaysia, jika nak berkuasa di peringkat persekutuan mesti ada kerjasama semua kaum termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Orang bukan Islam mempunyai peranan yang besar. Juga di kawasan negeri yang mempunyai orang bukan Islam ramai, seperti Selangor, Perak dan Johor,” ujarnya lagi.
Tambahnya, Pas dan Umno menyedari hal itu apabila mereka menukar agenda kerjasama ummah kepada muafakat nasional di saat-saat akhir.
“Sukar untuk menguasai persekutuan kerana memerlukan sokongan orang bukan Melayu dan juga pengundi atas pagar. Melayu bandar juga sesetengah tidak sukakan perkauman,” tegas beliau.
Selain itu, kerjasama Pas-Umno akan berdepan kesukaran kerana fatwa Amanat Hadi 1981 yang masih terkesan dalam kalangan penyokong veteran kedua belah parti, khususnya di negeri Pantai Timur.
“…dulu memang kafir mengkafir benda yang besar di Pantai Timur sehingga berlaku penceraian, orang nikah tidak sah dan perlu bernikah semula, sembelihan perlu dibuang kerana haram dimakan. Masjid mempunyai dua imam dan orang Pas membuat surau mereka sendiri.
“Walaupun sekarang kurang fenomena itu namun amanat ini belum ditarik balik. Bermakna ada segelintir yang masih terpengaruh dengan sentimen itu terutama orang lama,” katanya.