Kerajaan Pakatan Harapan menegaskan bahawa mereka tidak berhasrat untuk melaksana kembali sistem sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seperti yang digembar-gemburkan.
Sebaliknya perdana menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan bercadang untuk memperbaiki cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang sedang dilaksanakan ketika ini.
“GST jelas telah ditolak oleh rakyat. (Ketika) GST diperkenalkan dahulu, kita dengar banyak rintihan daripada rakyat. Mereka bayar cukai dua kali.
“Sebab itu kita berpendapat, kita perlu balik (kenalkan) SST dan ini sedang berjalan, di samping kita perlu baiki pelaksanaan cukai baharu ini (SST).
“(Jadi) tidak ada sebabnya kita akan kembali kepada cukai (GST) yang ditolak rakyat dahulu,” jelasnya dalam Dewan Rakyat.
Dr Mahathir berkata demikian bagi menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan – Kalabakan) berkenaan hala tuju kerajaan berkenaan kesediaan untuk melaksanakan semula GST sekiranya ia dikehendaki rakyat.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, sesebuah kerajaan perlu mengenakan cukai untuk mengumpul dana yang diperlukan dalam pentadbiran negara. – RF8 Media