Utusan Malaysia yang menghentikan operasinya mulai semalam dijangka akan muncul semula di pasaran di bawah pengurusan baru.
Sumber dalaman mendakwa pengurusan baru bakal menerbitkan akhbar Utusan dan Kosmo dalam beberapa bulan akan datang, atau pada Januari 2020.
“Utusan akan kembali muncul. Kami sedang melakukan proses penggulungan syarikat asas tetapi pegangan lesen penerbitan dimiliki oleh Aurora Mulia dan mereka akan melancarkan semula penerbitan dalam waktu terdekat,” kata sumber dalaman dipetik theedgemarkets.com.
Manakala semalam dilaporkan, Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan Melayu Mohd Taufek Razak berharap kesemua 862 kakitangan akan dikekalkan di bawah pengurusan baharu.
Beliau berkata keputusan syarikat untuk memberhentikan operasi berkuat kuasa Rabu menyebabkan pekerja keliru kerana mereka hanya menerima memorandum pekeliling dan masih tidak mendapat surat pemberhentian kerja.
“Memang ada ura-ura mengenai pengurusan akan membuat proses pembuangan kerja tapi kami harap di bawah pengurusan baharu, mereka dapat terus terbitkan Utusan dan mengekalkan kesemua pekerja,” kata beliau pada sidang media.
Kompleks Sri Utusan di Kuala Lumpur telah disita dan tidak lagi boleh beroperasi manakala pihak pelikuidasi memberi masa sehingga esok untuk mengemas keperluan dan kakitangan dicutikan sehingga 30 Oktober.
Spekulasi Utusan akan diterbitkan semula timbul berasaskan laporan Malaysiakini pada 8 Oktober lalu bahawa anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad, Dilof Sdn Bhd yang memegang permit akhbar kumpulan Utusan telah dijual kepada syarikat Aurora Mulia Sdn Bhd dengan cara Utusan melupuskan 70 peratus pegangan saham.
Aurora Mulia Sdn Bhd dikuasai oleh usahawan yang rapat dengan Tun Mahathir, Syed Mokhtar Al Bukhari.
Sekitanya Utusan diterbitkan semula di bawah firma yang mempunyai kepentingan Syed Mokhtar mungkinkah kerajaan Pakatan Harapan akan mempunyai media arus perdana pertama ‘mesra PH’ setelah lebih setahun empat bulan memerintah? – RF8 Media