Kaum Melayu tidak wajar berfikiran sempit dengan menafikan hak kaum lain sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tegas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.
Pengarah Komuniksi Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata demikian ketika mengulas jemputan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan agar Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk kerajaan Melayu dan Islam bersama Umno dan Pas.
Tambahnya, rakyat di negara ini perlu mengakui meskipun kaum Cina dan India asalnya datang ke negara ini untuk bekerja, namun dengan toleransi pemimpin Melayu terdahulu, mereka diterima sebagai warganegara.
“Kalau kita buat begitu (nafi hak mereka), kita mengiakan tindakan kerajaan Myanmar terhadap orang Rohingya, mengiakan tindakan Serbia yang bunuh orang Islam negara di Bosnia kerana berketurunan Turki.
“Kalau ungkit cerita seperti ini, apa gunanya? Sedangkan kita sedang bina sebuah negara berteraskan masyarakat majmuk,” katanya di Parlimen.
Terdahulu, Mohamad yang juga adalah Ahli Dewan undangan Rantau mengambil kesempatan dari ucapan Dr Mahathir yang mengajak orang Melayu dan Islam di negara ini bersatu.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu membuat kenyataan yang dapat ditafsirkan sebagai cubaan mengajak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menubuhkan kerajaan bersama Umno dan Pas sekaligus meninggalkan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang diberi mandat mentadbir negara oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Dr Mahathir ketika menjawab pelawaan itu dengan tegas berkata bahawa beliau tidak berminat untuk menubuhkan kerajaan baharu bersama kedua parti berkenaan.
Malah tambahnya inisiatif menubuhkan kerajaan berteraskan Melayu sukar dilakukan kerana kedudukan negara berbilang kaum.
“Itu sesuatu hakikat kita tidak boleh tolak kerana semua kaum mempunyai hak dalam negara ini,” tegasnya. – RF8 Media