Presiden PKR Anwar Ibrahim tegas mempertahankan ideologi berbilang bangsa dalam negara Malaysia.
Menurutnya, amat mudah untuk menjadi hero orang Melayu dan menawan hati kaum itu dengan memecah-belahkan perpaduan kaum.
Bagaimanapun kata Anwar, beliau tidak akan bertindak sedemikian kerana akan menghancurkan kehamornian rakyat yang sudah lama terjalin.
“Saya mampu sahaja jadi hero orang Melayu, mudah sahaja. Saya tahu apa yang hendak dibuat. Sama seperti Xavier Jayakumar (anggota Kabinet dan pemimpin PKR), dia boleh jadi hero buat orang India.
“Tetapi kalau jadi hero hingga menimbulkan perpecahan dan permusuhan, itu sebenarnya pengkhianat,” kata beliau dalam Seminar Nasional Hidup Bersama Dalam Kepelbagaian Pembinaan Bangsa dan Budaya Damai di Shah Alam, malam tadi.
Beliau tidak merujuk kepada mana-mana kes secara khusus tetapi seminar tersebut diadakan beberapa hari selepas berlangsungnya Kongres Maruah Melayu pada Ahad lalu yang dikritik banyak pihak.
Menurut Anwar, tidak dinafikan tindakan berbangga dengan kaum dan agama masing-masing merupakan tindakan murni, namun ia tidak berguna sekiranya berlaku ketegangan.
“Kita harus pilih, hendak pecahkan seperti sekarang yang lebih tegang?
“Kita boleh melakar sesuatu bagi faedah kaum dan agama tetapi jangan sampai memusnahkan. Di Malaysia, ada perkara yang sudah disepakati dan sering diulang oleh pimpinan Pakatan Harapan.
“Soal bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsan, agama Islam merupakan agama rasmi persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu akan tetap dipertahankan dan hak istimewa Melayu dan Bumiputera,” katanya dipetik Free Malaysia Today.
Anwar turut menjelaskan kemiskinan yang dikaitkan dengan kaum adalah sesuatu yang tidak betul dan tidak wajar diteruskan untuk masa depan Malaysia yang lebih baik.
“Kemiskinan berlaku buat semua kaum, majoritinya kaum Melayu dan Bumiputera, tetapi kalau India di estet dan bangsa Cina di pelusuk bandar yang miskin, itu juga tanggungjawab kita. Mana sikap dan nilai kemanusiaan kita,” katanya.
Jelas Anwar, dasar dirangka pimpinan pada masa ini tidak seharusnya mengambil kira kepentingan kaum Melayu semata-mata tetapi harus menilai kepentingannya buat seluruh rakyat Malaysia.
“Apakah munasabah kalau kita lakar satu dasar lain untuk ubah suai Dasar Ekonomi Baru, demi kebaikan orang Melayu dan rakyat Malaysia, kita mesti tentukan naratif baru?” tanyanya.