Impian keluarga berpendapatan rendah dan sederhana di Melaka untuk memiliki rumah sendiri bakal direalisasikan tidak lama lagi.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari menyuarakan keyakinan itu susulan kerjasama dijalin Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) baru-baru ini.
Menurutnya, setakat ini kerajaan negeri mensasarkan pembinaan 38,225 rumah mampu milik (RMM). Dari jumlah itu sebanyak 3,754 telah siap dibina, 16,599 unit dalam pembinaan dan 17,872 dalam perancangan.
Namun dengan kerjasama terjalan, pihaknya yakin lebih banyak RMM dengan harga tawaran kira-kira RM180,000 akan dapat dibina.
“Tidak kira sama ada projek berskala besar mahupun kecil namun lebih utama adalah memberi perhatian pembinaan rumah RMM yang akan memberi kesan baik kepada rakyat.
“Ini termasuk kerjasama LPM dengan syarikat pemaju perumahan Delta Diversified Sdn Bhd yang akan membangunkan projek RMM Batu Berendam.
“Biarpun hanya projek berskala kecil, saya percaya membantu mereka perlukan rumah dengan harga berpatutan,” katanya.
Adly berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri majlis menandatangani Perjanjian Usahasama antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Syarikat Delta Diversified Sdn Bhd di Seri Negeri, Ayer Keroh minggu ini.
Mengulas lanjut, Adlu berkata projek di Batu Berendam itu membabitkan pembinaan sepuluh unit rumah teres setingkat intermediate dengan harga jualan RM180,000 dan empat unit rumah teres setingkat corner dan lot berharga RM200,000 di kawasan seluas 0.92 ekar. – RF8 Media