Cadangan untuk mendaftar pengundi secara automatik disokong oleh Naib Presiden PKR Fuziah Salleh yang berpendapat pendaftaran secara automatik akan dapat menjimatkan wang dan mampu memberi pendidikan lebih awal kepada golongan muda.
Beliau mencadangkan agar SPR mula memikirkan cara lebih konkrit daripada bercakap mengenai masalah infrastruktur.
Sambil menyifatkan SPR sebagai ‘harimau tiada gigi’ Fuziah berkata suruhanjaya tersebut masih tidak mampu melaksanakan sebarang undang-undang.
“Jika ada sebarang keganasan kita pergi pada polis, rasuah pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). SPR Malaysia
seperti harimau tiada gigi. Maka itu perlunya SPR ini diletakkan di bawah parlimen.
“Cukup untuk SPR bercakap mengenai infrastruktur sebab kita harus fikir baik kerajaan, pembangkang harus gabung pemikiran untuk cari penyelesaian berhubung hal ini,” katanya dalam program Wacana Daftar Pengundi Muda: Wajarkah Di Wajibkan di Intekma Resort UiTM baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Pilihan Raya Noordin Che Ngah pula berkata untuk merealisasikan cadangan itu ia perlu kelulusan parlimen seperti proses sedia ada.
Menurut beliau kajian secara menyeluruh juga perlu dilakukan SPR bagi meminda perlembagaan agar umur 21 tahun layak mendaftar kepada umur 18 tahun.
Ujarnya, masalah lain akan timbul membabitkan kewangan memandangkan kenaikan pendaftar pemilih jika cadangan itu dilaksanakan menjadi undang-undang.
“Contoh jika daftar pemilih 11.5 juta akhir 2010 tiba-tiba ditambah 4.5 juta pengundi. Di Malaysia sahaja ada 25 juta pengundi, maka disebabkan penambahan akan berlaku kenaikan bajet kewangan RM3,000 ke RM5,000 jika undang-undang ini dilaksanakan.
Forum itu mencatatkan sejarah apabila ahli parlimen BN yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah juga menyokong cadangan agar remaja 18 tahun dibenar mengundi dan berpolitik.
“Jika di Malaysia setiap tahun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan hantar borang kemaskini ke SPR dan pengundi sahkan. Umur 21 tahun baru boleh mengundi.
“Berbeza pula di Jerman pengundi pada umur 18 tahun secara automatik didaftar dan akan mendapat kad pmberitahuan. Amerika Syarikat pula di bawah Akta Pendaftaran 1993 pendaftaran pada umur 18 tahun adalah secara automatik.
“Bukan agungkan negara lain tetapi negara tersebut tidak wajibkan pendaftaran awal malah benarkan pula rakyatnya mengundi ketika
hari pengundian. Dengan cara itu mereka dapat mudahkan rakyat,” katanya.