Tohmahan pembangkang kononnya kerajaan membiarkan harga petrol RON 95 melambung tinggi selepas perlaksanaan subsidi bersasar jauh meleset.
Kerajaan Pakatan Harapan menetapkan subsidi minimum tetap diberikan sekiranya harga petrol mendadak naik sehingga membebankan pengguna yang tidak layak mendapat subsidi bersasar.
Pengarah Bahagian Rasionalisasi Petroleum Kenderaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) Amran Ahmad berkata setiap kali semakan harga minyak dilakukan, kerajaan akan memastikan ia tidak melebihi 5 sen dengan kos selebihnya ditanggung melalui subsidi.
“Pemberian subsidi itu diteruskan sepanjang kenaikan secara berperingkat harga minyak RON95 sehingga ia mencapai harga pasaran yang sepatutnya,” katanya kepada Bernama selepas memberi taklimat mengenai PSP di Putrajaya hari ini.
Pada 7 Oktober lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan pelaksanaan PSP yang akan melibatkan 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berkenderaan.
Mereka yang layak akan diberikan subsidi petrol sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal yang disalurkan dalam bentuk pemindahan tunai dan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.
Semasa pembentangan Belanjawan 2020 Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kelompok yang tidak tergolong dalam B40 juga boleh menikmati subsidi berkenaan melalui Kad95 yang akan diberikan kepada mereka yang layak – berpendapatan kurang RM4,000, tetapi tidak tersenarai dalam BSH.
Kira-kira lima juta pemandu melalui Kad95 menikmati subsidi petrol 30 sen per liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.
Mengenai kebimbangan orang ramai sekiranya harga minyak RON95 naik mendadak di pasaran, Amran berkata melalui kajian yang dilakukan, jangkaan harga minyak mentah akan bergerak sekitar AS$50 ke AS$60 setong dalam jangka masa tiga ke empat tahun.
“Oleh demikian, rakyat tidak perlu khuatir tentang kenaikan harga minyak secara mendadak kerana ia akan dibuat secara beransur-ansur,“katanya.