Setiausaha Agung PKR, datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan Pakatan Harapan hanya serkap jarang berhubung anasir yang mahu menjatuhkan kerajaan persekutuan dan menggantikan dengan kerajaan baharu tanpa DAP dan Amanah.
Katanya, terdapat bukti tidak langsung gerakan ke arah itu dan perkara tersebut harus dicegah.
“Ada semacam circumstantial evidence. Dia tak perlu satu evidence (bukti) yang (langsung), politik mana ada evidence macam itu.
“Circumstantial evidence – cukup untuk kami mengingatkan bahawa pertama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengambil pendirian bahawa rakyat harus melihat tentang adanya kemungkinan percubaan untuk hijack (merampas) agenda reformasi yang telah pun dijalankan sekian lama dan rakyat telah membuat keputusan melalui pilihan raya umum yang lepas,” kata Saifuddin dalam kenyataan media.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi itu merujuk kepada amaran yang dikeluarkan oleh sekretariat Pakatan Harapan kepada bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein untuk menghentikan komplot tersebut.
Kenyataan itu tidak menamakan mana-mana individu atau pihak kecuali amaran bahawa PKR akan berhati-hati terhadap unsur-unsur “rejim lama” di samping turut berjanji untuk memerangi unsur-unsur tersebut.