Penganalisis politik dan ekonomi memberi amaran peralihan kuasa yang semakin kucar-kacir di Malaysia boleh merosakkan ekonomi dan menyebabkan pelabur asing tidak akan menanam modal.
Seorang penganalisis ekonomi Jameson Tan berkata, menteri-menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu bercakap dalam satu nada berhubung proses peralihan kuasa antara perdana menteri Tun Mahathir kepada Anwar Ibrahim
“Nampaknya situasi politik di Malaysia hari ini semakin tidak stabil tetapi kita patut rasa lega dengan kenyataan Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Port Dickson) bahawa Majlis Presiden PH akan membuat keputusan mengenai jawatan PM apabila tiba masanya nanti.
“Justeru itu, suara muafakat (consensus) adalah penting di sini. Saya menjangka keputusan akan diambil sebelum bulan Mei 2020 dan saya yakin Anwar akan mengambil-alih jawatan PM.
“Walaupun tiada persetujuan hitam-putih ditulis dan ditandatangani (perjanjian tempoh peralihan) tetapi semua pihak wajar mematuhinya sebagai sebuah kerajaan yang ikhlas, telus dan berwibawa.
“Jika persetujuan tersebut diabaikan, maka rakyat dan masyarakat antarabangsa serta golongan usahawan akan hilang keyakinan terhadap Kerajaan PH. Ini akan memberi tamparan hebat kepada ekonomi Malaysia. Oleh itu, saya pasti semua pihak akan patuh kepada persetujuan lisan yang menyatakan ‘2 tahun’ itu,” katanya.
Buat masa ini, Jameson berharap Kerajaan PH akan memberi lebih tumpuan kepada situasi ekonomi negara kerana ekonomi Malaysia akan merosot lewat isu pemboikotan India membeli minyak sawit, akibat dari perselisihan faham berhubung isu kenyataan Tun Mahathir ke atas konflik di Kashmir.
“Selain dari isu tersebut, isu perkauman juga masih panas dan tidak pernah reda sejak Mei tahun lalu. Jika Kerajaan PH gagal menangani isu retorik perkauman yang kuat dimainkan oleh pihak pembangkang, maka negara Malaysia akan tertinggal jauh di belakang.
“Setakat ini, saya tahu ramai orang masih sokong PH tetapi mungkin mereka rasa kecewa dengan prestasi PH sehingga ini,” tambah Jameson. – RF8 Media