Usul perwakilan Umno agar ahli parti itu melaksanakan bai’ah dan akujanji agar tidak ada pemimpin yang mengkhianati perjuangan membayangkan parti itu sudah hampir ke penghujung nyawanya. Sedangkan selama ini Umno mempertikaikan bai’ah PAS tetapi terbukti akhirnya dalam keadaan terdesak mereka juga terpanggil untuk mengamalkan cara yang sama.
Ketua Penerangan Perhubungan PAS Perak Ahmad Nuri Al-Amin menyifatkan Umno sudah kekeringan idea kerana terpaksa mengambil dasar PAS untuk parti itu.
“Badan Perhubungan PAS Perak melihat Umno kini mengakui parti itu perlu menggunapakai konsep ‘akujanji’ dan bai’ah bagi semua calon-calon dalam Pilihan Raya Umum ke – 13 nanti bagi menghalang calon mereka mengkhianati parti.
“Perkara menarik yang ingin saya rungkaikan ialah pandangan dan keinsafan Umno bahawa pengkhianatan calon mereka merupakan satu dosa besar . Sedar atau tidak, Umno pernah menerima seorang yang pernah keluar parti, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Perak, Dato’ Nasarudin Hashim pada tahun 2009 dahulu (keluar Umno masuk PKR).
“Tetapi akhirnya, Dato’ Nasarudin kembali kepada Umno tanpa ada satu hukuman pun terhadapnya. Perwakilan mendesak agar kepimpinan Umno meletakkan satu ‘akujanji’ kepada semua calonnya, tetapi dalam masa yang sama Umno boleh pula menerima pengkhianat dalam parti lain untuk bersama mereka. Apa yang berlaku di Negeri Perak itu, jelas Umno boleh menerima seseorang yang telah khianat kepada Umno kemudian kembali kepada parti itu di kalangan mereka,” bidasnya.
Ahmad menggesa Umno sedar kerana kerajaan yang mereka bentuk di Perak adalah berasaskan pengkhianatan yang didokong oleh empat ADUN PKR dan DAP yang membelot. Umno sanggup menerima mereka yang tiada moral dan tidak setia kepada parti masing-masing demi kuasa. Tidak mustahil mereka itu boleh sekali lagi mengkhianati Umno pada bila-bila masa.