Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah bahawa hal tertentu berkaitan Jho Low tidak diminitkan.
Shahrol pada perbicaraan kes jenayah membabitkan Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam berkata, tindakan tersebut bertujuan melindungi bekas Presiden Umno itu.
Memetik laporan Malaysiadateline, Shahrol mendakwa Najib dalam satu mesyuarat pernah mahukan 1MDB melakukan perkara yang berbeza dengan kelaziman.
“Terdapat persamaan pola sebelum perjanjian dan selepas perjanjian itu. Perkara-perkara tertentu yang melibatkan Jho (Low) tidak diminitkan dan ini untuk melindungi Najib.
“Inilah cara bagaimana Najib menginginkan perkara-perkara dilakukan, saya masih ingat ketika kami sedang membubarkan TIA (Lembaga Pelaburan Terengganu) ke 1MDB.
“Ada mesyuarat di mana Najib berkongsi mengenai 1MDB dan dia mahukan 1MDB melakukan perkara yang berbeza dan cepat dan meninggalkan cara lama di belakang.
“Terdapat satu mesyuarat khusus yang dihadiri oleh pegawai kanan Kementerian Kewangan, beliau berkata, “saya bukan hendak memusnahkan negara.” kata Shahrol.
Sementara itu tambah Shahrol, beliau menyifatkan Najib Razak adalah 1MDB dan 1MDB adalah Najib.
Jelasnya, ia kerana apa saja yang dikehendaki bekas Perdana Menteri itu perlu disegerakan termasuk perjanjian usaha sama 1MDB dengan syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak, PetroSaudi International Ltd
“Tidak wujud dalam pemikiran saya ia adalah di antara 1MDB dan Najib kerana ‘Najib adalah 1MDB dan 1MDB adalah Najib.
“Apa saja yang Najib mahukan, saya perlu menyelesaikannya,” katanya. – RF8 Media