Jejantas yang runtuh kerana dilanggar lori di Jalan Kebun, Shah Alam semalam perlu dibina semula oleh kontraktor yang terlibat insiden itu.
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, tanggungjawab membina semula jejantas bagi kegunaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun untuk melintas jalan itu perlu ditanggung sepenuhnya kontraktor terbabit.
“Pihak kontraktor perlu bina semula dan kos mereka perlu tanggung sepenuhnya,” katanya dipetik laporan Sinar.
Tambahnya, laporan awal diterima ialah kejadian itu berlaku atas kesilapan pihak kontraktor melaksanakan kerja dikawasan terbabit.
Projek itu difahamkan masih dalam pembinaan dan belum diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, insiden itu telah mengakibatkan kerugian lebih RM500,000.
Terdahulu, anggota bomba mengambil masa lebih empat jam untuk mengeluarkan seorang pemandu lori yang tersepit di bahagian tempat duduk selepas kenderaan itu dihempap struktur jejantas berkenaan.
Kejadian itu dikatakan berpunca dari kesilapan pemandu yang lupa menurunkan ‘bucket’ membawa bahan binaan ke projek berkenaan yang seterusnya merempuh jejantas berkenaan hingga runtuh.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya juga terpaksa menggunakan bantuan kren bagi mengangkat struktur jejantas yang menghempap lori terlebih dahulu sebelum mangsa boleh dikeluarkan dan dikejarkan ke hospital.
Dalam kejadian itu mangsa berusia 24 tahun cedera parah di kedua bahagian tangan dan kaki.