Pas tidak matang berpolitik apabila meminta kerajaan mengharamkan DAP.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya kerajaan bertindak mengharamkan DAP maka situasi yang sama juga boleh berlaku ke atas parti-parti politik lain termasuk Pas.
Menurut Anwar, seruan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man itu menunjukkan mentaliti pemikiran pemimpin parti tersebut masih terperangkap ditakuk lama.
“Saya fikir PAS masih bawa pemikiran lama, suruh haram… Itu politik lama. Sekarang kalau mula ajar kerajaan ada kuasa haramkan parti itu bahaya, bahaya untuk PAS juga,” kata Anwar dipetik The Malaysian Insight.
Ahli Parlimen Port Dickson itu diminta mengulas kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu DAP diharamkan kerana menjadi ancaman terhadap keselamatan negara.
Tuan Ibrahim berkata ancaman itu kerana DAP dilihat terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LLTE) dan mempromosikan komunisme.
Beliau juga pernah menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berkaitan hukum menyokong DAP yang menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.
Desakan untuk mengeluarkan fatwa itu dibuat sewaktu timbul perbalahan mengenai pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.