Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Mahathir Mohamad bersetuju untuk membincangkan isu peralihan jawatan perdana menteri antara beliau dan Presiden PKR Anwar Ibrahim dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.
“Kalau nak bincang, boleh bincang dalam Majlis Presiden,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang menyatakan kesediaan beliau untuk berbincang peralihan jawatan Perdana Menteri menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH.
Mahathir berkata, Majlis Presiden adalah forum terbaik untuk peralihan kuasa kerana dalam majlis itulah keputusan dibuat untuk melantik pemimpin PH sebelum ini.
“…dan juga kedudukan Anwar Ibrahim dan cadangan saya jadi pengerusi, dan bakal perdana menteri,” katanya dipetik.
Mahathir, yang berada di Azerbaijan untuk Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18, yang berakhir semalam, berkata beliau bersetuju jika ada pihak yang mahu membincangkan isu itu.
Wan Azizah, yang juga presiden PH, dilaporkan sebagai berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin Yassin bahawa isu peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar secara terperinci seharusnya dibincangkan secara muafakat dalaman antara pemimpin PH.
Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, berkata memang soal peralihan kuasa disebut ketika perjanjian awal antara empat pemimpin melibatkan beliau, Wan Azizah, ketika itu presiden PKR; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu. – RF8 Media