Presiden parti PAS, Abdul Hadi Awang disaran agar bersara daripada pentas politik negara.
Gesaan itu dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin susulan sikap perkauman atau asabiyah yang semakin ditonjolkan Abdul Hadi.
Menyifatkan Ahli Parlimen Marang itu sebagai sudah tidak ketahuan, Hanipa mempersoal mengapa Abdul Hadi membelakangi ajaranya kepada ahli parti sebelum ini agar tidak bersifat perkauman terutama dalam negara terutama Malaysia yang majmuk.
“Dulu YB (Abdul Hadi) yang ajar kami semua tak boleh asabiyah. Kok sekarang tebalnya asabiyah YB!” tulis bekas peguam PAS itu yang kini bersama Amanah.
“Maaflah jika saya kata. Pleaselah bersara. Dah makin tak ketahuan YB. Resign so long your sanity is still ok,” tulis Hanipa dalam hantaran di laman Facebooknya.
Hanipa bekas peguam PAS yang kini bersama Amanah tutut berkongsikan pautan daripada sebuah portal bertajuk ‘Kesabaran kami ada had, henti tuduh orang Melayu rasis, kata Hadi’ yang disiar baru-baru ini.
Abdul Hadi dalam tulisan itu baru-baru ini memberi amaran kepada kaum lain supaya tidak melabelkan orang Melayu sebagai “rasis” kerana kesabaran mereka ada batasnya.
Anggota Parlimen marang itu berkata, terdapat dwistandard untuk label “rasis” dan orang Melayu sering diberikan label itu walaupun hanya menuntut hak sendiri.
“Melayu menerima nasib ini kerana ke-Islamannya. Kalau Melayu tidak menganut Islam seperti kaum lain, maka tidak dilabel rasis, tulisnya. – RF8 Media