Pembangkang didakwa cuba menjadi batu api setelah usaha mereka menubuhkan kerajaan ‘kerajaan pintu belakang’ tanpa penyertaan Amanah dan DAP gagal.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad dipetik laporan sinar berkata, selepas usaha itu gagal menarik minat perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad, mereka kini mengubah strategi dengan menjadi batu api.
Jelas Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi, ia dapat dilihat dengan kenyataan-kenyataan menyokong Dr Mahathir kekal perdana menteri yang sebenarnya bertujuan mencetuskan pertelagahan diantara parti-parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).
“Kita yakin pimpinan kita cukup memahami mainan mereka dan insya-ALLAH, kita akan terus bersama dan semua soalan mengenai transisi peralihan akan dibincangkan dan dipersetujui bersama.
“Kita tahu bila strategi kedua juga gagal, akan ada lagi strategi ketiga tapi apa strateginya kita tidak tahu.
“Mereka ini memanglah kerjanya untuk membuat konspirasi sahaja,” katanya
Sementara itu Khalid menasihatkan pembangkang berhenti bermain politik adu domba atau menjaja isu politik yang tidak membawa apa-apa faedah untuk rakyat.
Terdahulu, Majlis Setiausaha HARAPAN mendedahkan usaha pihak tertentu termasuk beberapa pemimpin dari gabungan itu cuba mengkhianati mandat rakyat apabila bersekongkol dengan seorang pemimpin Umno bagi menubuhkan kerajaan ‘pintu belakang’
Hishamuddin Husin yang didakwa dalang kepada usaha itu menafikan.
Setelah isu tersebut, beberapa pemimpin politik termasuk seorang dari KEADILAN sekali lagi mengesa Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga akhir penggal.
Bagi menguatkan gesaan itu, beberapa pemimpin pembangkang daripada Umno dan PAS tampil menyuarakan sokongan agar Dr Mahathir kekal. – RF8 Media