Saya merujuk kepada laporan Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), Qaiser Iskandar Anwarudin yang mengatakan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu untuk membeli rumah yang baru dibangunkan berikutan harganya di luar keupayaan kewangan mereka.
Perkara ini turut disokong oleh piawaian antarabangsa yang mengkategorikan rumah kediaman di Malaysia sebagai ‘sangat tidak mampu milik’ menurut kajian yang dibangunkan Demographia International dan dicadangkan oleh Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Universiti Harvard.
Masalah ini berpunca daripada peningkatan harga hartanah yang tinggi beberapa tahun kebelakangan ini dan tidak selari dengan peningkatan gaji dan pendapatan rakyat Malaysia.
Tindakan pemaju yang seringkali membina perumahan baru dengan harga jualan mencecah RM500,000 seunit sangat tidak mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana khususnya yang tinggal di kawasan bandar.
Data juga menunjukkan bahawa lebih 60 peratus kediaman berharga lebih RM300,000 tidak terjual. Ini selari dengan dapatan BNM yang mengatakan bahawa harga maksimum sepatutnya ditawarkan pada RM282,000.
Oleh yang demikian, saya berharap KPKT dapat segera mengambil langkah proaktif bersama pemaju dan melaksanakan dasar-dasar perumahan yang lebih mesra pembeli.
Ini bagi memastikan industri perumahan lebih mampu milik bagi majoriti rakyat Malaysia terutamanya golongan anak muda. Inisiatif-inisiatif perumahan mampu milik seperti PRIMA dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) perlu diperkemaskan lagi bagi menangani isu ini.
Zahir Hassan
Pengerusi Keadilan Wilayah Persekutuan