Pakatan Harapan (PH) mungkin boleh menarik nafas lega dengan pengumuman calon dari MCA Datuk Seri Wee Jeck Seng bertanding mewakili BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dua minggu dari sekarang.
Lebih melegakan lagi, jentera Umno seolah-olah memboikot pengumuman malam tadi. Tinjauan media mendapati hampir 90 peratus kehadiran di Rumah Umno Pontian adalah dalam kalangan ahli MCA.
Menurut sumber pula, hampir keseluruhan jentera BN yang digerakkan oleh Umno kawasan kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan parti kerana tidak mendengar hasrat serta suara hati ahli.
“Kira-kira 75 peratus ahli UMNO yang menjaga PDM BN Parlimen Tanjung Piai memboikot majlis pengumuman calon BN malam ini.
“Walaupun ada Bahagian serta beberapa pemimpin UMNO cuba memujuk ahli akar umbi untuk hadir, kekecewaan kami pasti mengambil masa untuk hilang.
“Malam ini juga hampir keseluruhan PDM Parlimen Tanjung Piai akan mengadakan mesyuarat tergempar membincangkan isu jentera PRK,” katanya dipetik BH.
Jeck Seng yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) PRK Parlimen Tanjung Piai. Pengumuman dibuat Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad di Rumah UMNO Pontian malam tadi.
Turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Setiausaha Perhubungan UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali.
Sebelum ini, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Isnin lalu ketika melancarkan jentera PRK Parlimen Tanjung Piai dilapor menyerahkan kepada Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad untuk mengumumkan calon parti dalam masa terdekat walaupun sepatutnya mengumumkan sendiri calon BN petang kelmarin.
Isnin lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, sebagai calon Pakatan Harapan (PH) PRK Parlimen Tanjung Piai.
Kelmarin, GERAKAN mengumumkan Timbalan Setiausaha Agung, Wendy Subramaniam sebagai calon.
Jeck Seng menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada 2013 hingga 2018, dan sebelumnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas pada 2004 hingga 2008.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Jeck Seng tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik dengan majoriti 524 undi.