Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melihat Bicara Negawaran Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad 5 Disember lalu memberikan mesej penting kepada kepimpinan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai ‘orang nombor satu’ di Negeri Perak dan jelas teguran Tun Mahathir itu berpaksikan kepada kepimpinan semasa terutama di Perak yang mana Barisan Nasional (BN) pernah tumbang pada tahun 2008 dahulu.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak DR RAJA AHMAD AL-HISS berkata zambry pernah mejadi penyokong Anwar Ibrahim ketika bekas TPM itu dipecat dari Umno dan itu merupakan rekod hitam baginya.
“Sedar atau tidak, Datuk Seri Zambry adalah penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dipecat sebagai Timbalan Presiden Umno dahulu dan menyebabkan Datuk Seri Zambry tiada tempat di dalam Umno selepas itu.
“Pada tahun 2002 pula, tiba-tiba jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak disandang oleh Datuk Seri Zambry selepas penyandangnya, Ketua Pemuda Umno Bahagian Tambun ketika itu, Nasir Ismail melepaskan jawatannya secara sukarela. Manakala pada tahun 2001, Datuk Seri Zambry tumpas untuk merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Lumut daripada penyandangnya Datuk Mohd Wajidi Datuk Mohd Ishak.
“Tentu rakyat Pulau Pangkor khasnya dan rakyat Lumut amnya maklum bagaimana Datuk Seri Zambry berjaya menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor tahun 2004 yang disandang oleh Datuk Wajidi sebelum ini.
“Jelas Datuk Seri Zambry bukannya naik mengikut landasan sebenar sebelum ini. Dan kami melihat, kenyataan Tun Mahathir berkaitan Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil agar faham keperluan meletak jawatan turut memberikan peringatan kepada Datuk Seri Zambry dalam isu yang sama,” katanya.
Raja Ahmad menyifatkan teguran itu juga membabitkan beberapa EXCO Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Zambry yang banyak diperkatakan.