Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa mengingatkan semua calon Pilihan raya Kecil (PRK) Tanjung Piai agar tidak menjadikan masjid sebagai tempat berkempen.
Jelasnya ia selaras dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu masjid di negeri itu bebas daripada politik.
“Saya amat yakin dengan titah Tuanku Sultan Johor yang baginda telah mengingatkan berkali-kali masjid bukannya tempat digunakan untuk berpolitik.
“Saya harap semua pihak berpolitiklah dalam kempen, tapi jangan sesekali gunakan masjid untuk berkempen,” katanya dipetik Malaysiakini.
Mujahid sebelumnya ditemui pemberita selepas program Hari Terbuka Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Sementara itu, Mujahid yang juga pemimpin Amanah meminta pengundi di Tanjung Piai supaya memilih calon yang berupaya membela nasib rakyat.
“Saya harap mereka (pengundi) memilih calon yang berhasrat untuk membina negara, calon Pakatan Harapan (HARAPAN) yang kita letak untuk membawa harapan. Hanya dia yang boleh tunaikan.
“Jangan undi kerana terpengaruh sentimen perkauman, memberi undi kepada parti yang sama dengan Mohd Farid bermakna meneruskan legasi Mohd Farid,” katanya lagi. – RF8 Media