Arus kebangkitan demokrasi di Asia Barat menular ke Algeria, Yemen dan Bahrain. Kesemua rejim kuku besi yang memerintah tanpa dipersoal sebelum ini menghadapi penentangan rakyat yang inginkan pemerintahan yang lebih demokratik.
Setiap bulan, satu demi satu regim authoritarian tumbang, rejim Zine Abidin jatuh pada Januari, Rejim Mubarak pada Februari dan kini rejim Abdelaziz Bouteflika dijangka tumbang pada Mac. Semua rejim mempunyai masalah sama; kurangnya kebebasan bersuara, pemerintah mengamalkan korupsi, pemimpin mengambil komisyen dari urusniaga dalam negara, rakyat yang mengkritik dipenjara dan wujud undang-undang lapuk ke atas internet serta kebebasan media.
Bagi ahli parlimen Batu yang juga Naib Presiden PKR, Tian Chua, arus yang menumbangkan kerajaan diktator Asia Barat dalam zaman globalisasi ini akan turut menyebar ke seluruh dunia. Perdana Menteri Malaysia Najib Razak meminta kabinetnya mengambil pengajaran dari arus perubahan itu namun dasar-dasar lapuk di Malaysia masih banyak yang tidak banyak berubah.
“Asia Barat membawa satu gelombang kesedaran kepada seluruh dunia. Banyak negara muslim yang selama ini mengamalkan authoritarian kini jelas rakyat mereka berani untuk menentang dan menuntut hak asasi. Malaysia juga ada hubung kait dengan kebangkitan itu kerana sistem politik negara ini mempunyai persamaan dengan Asia Barat,” katanya.
Menurut Tian lagi, Malaysia mempunyai sistem parti pemerintah yang menentukan segala-galanya. Mereka mendapat manfaat sepenuhnya dari kuasa dan menurunkan pemerintahan kepada kaum keluarga
“Kita mempunyai sistem pemerintahan yang mana satu parti mendapat banyak faedah, kuasa juga boleh diturunkan melalui keluarga, parti yang sama memerintah sejak puluhan tahun, anak menjadi waris kekuasaan bapa. Rakyat sudah bosan dengan sistem (nipotisme) seperti ini. Di Mesir rakyat bertindak mengakhirinya,” ujar Tian .
Tambahnya, corak propaganda pemerintah di Mesir dan Malaysia juga didapati sama. Di mana pembangkang Mesir dianggap unsur subversif dan diresapi pengaruh barat atau al Qaeda. Sedangkan dalam polisi luar Mesir, rejim Hosni Mubarak amat menyokong barat.
“Mubarak juga memainkan sentimen perkauman, menakut-nakutkan rakyat terhadap unsur luar yang kononnya menggugat keamanan. Namun dari aspek dasar luar Mesir, rejim mengikut telunjuk negara Barat.
“Bila pemerintah dipersoal, rakyat menuntut demokrasi, dia (Mubarak) sebut ini kaedah barat sedangkan beliau sendiri adalah sekutu rapat Amerika. Hal yang sama juga diuar-uarkan Umno, kononnya pembangkang agen Barat. Apabila pembangkang membuat sesuatu yang tidak disukai pemerintah, BN akan kata cuba mencipta huru-hara. Sama seperti Mubarak yang mengatakan pembangkang subversif. Semua ini alasan yang dicipta rejim authoritarian bagi menangguhkan reformasi,” katanya.
Tegas Tian, tindakan kerajaan BN ingin meminda Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 untuk memasukkan facebook, web dan terbitan youtube ke dalam akta itu hanya mendekatkan lagi situasi di Malaysia dengan Mesir. Ia tindakan yang mengundur ke belakang memandangkan Malaysia telah pun menjamin kebebasan internet ketika mewujudkan projek Multimedia Super Corridor sedekad lalu.
“Semua itu mirip cara yang dilakukan rejim Mesir. Mereka tidak mahu lakukan perubahan sedangkan dunia telah memasuki zaman baru. Kaedah lama ini mereka lakukan untuk menyekat kebebasan bagi mengelakkan kejatuhan rejim. Bagaimanapun tindakan ini dibuktikan dalam sejarah tidak akan berkesan.
“Bagi saya, pemindaan akta mesin cetak membuktikan ketakutan dan betapa terdesaknya kerajaan BN untuk mempertahankan kuasa mereka,” akhirinya.