Usahawan yang diburu kerana didakwa terlibat skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad, Jho Low dilapor mendapatkan khidmat broker pasport dan kewarganegaraan, Henley & Partners bagi mendapatkan dokumen perjalanan dari Cyprus.
Malaysiakini dalam laporan yang memetik akhbar Cyprus Politis, Low Taek Jho mendapatkan pasport negara kepulauan di Mediterranean itu ketika pihak berkuasa hampir dapat mengesannya pada 2015.
Menurut laporan itu lagi, Jho Low membelanjakan sejumlah besar wang bagi mendapatkan dokumen itu melalui Pelan Pelaburan Cyprus, yang memerlukan dia mendepositkan sejumlah lima juta euro ke dalam bank Cyprus untuk tempoh tiga tahun. Dia turut dilapor membeli sebuah villa bernilai lima juta euro di sana pada 23 September 2015 untuk memenuhi syarat itu.
Difahamkan, Jho Low memerlukan pasport alternatif itu untuk memudahkan pergerakannya ketika penyiasat semakin dapat mengesan jejaknya.
Laporan itu turut berkata Low diberi pasport itu walaupun pemeriksaan latar belakang terhadapnya membangkitkan beberapa amaran (red flag).
Pemeriksaan itu membangkitkan kebimbangan terhadap status Low sebagai ‘politically exposed person’ (PEP) serta dakwaan kegiatan pengubahan wang haram, penipuan dan pelanggaran undang-undang.
Salinan pasport yang disiar media
PEP ditakrifkan sebagai individu yang diberi kepercayaan awam dan lebih berkemungkinan untuk terlibat dengan rasuah dan korupsi ekoran kedudukannya itu.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah diselewengkan daripada 1MDB dan kini bekerjasama dengan Malaysia untuk mendapatkan semula dana tersebut.
Bekas perdana menteri Najib Razak kini dibicarakan atas dakwaan rasuah sementara Low masih tidak dapat dikesan. – RF8 Media