Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sekali lagi menegaskan akan melunaskan janji untuk menyerahkan kuasa kepada bakal penggantinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Komitmen itu disuarakan beliau yang ditemubual Sydney Morning Herald (SMH) di Bangkok, ketika Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berada di ibu negara Thailand itu sempena Sidang Kemuncak Asean Ke-35.
“Walaupun terdapat banyak orang lain yang telah meminta saya untuk meneruskan sehingga pilihan raya akan datang, tetapi itu pandangan mereka.
Komitmen saya adalah untuk meletak jawatan sebelum pilihan raya akan datang, pastinya, “katanya Dr Mahathir.
Sebelum ini ada pihak cuba merumitkan keadaan dalam HARAPAN.
Mereka secara strategik menggesa agar Tun Mahathir kekal perdana menteri yang sekaligus dilihat sebagai usaha menghalang proses peralihan kuasa kepada Anwar.
Gesaan itu dibuat secara terbuka beberapa pemimpin pembangkang antaranya Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan seorang pemimpin kanan parti gabungan HARAPAN, Mohammed Azmin Ali yang didakwa berminat merebut jawatan itu dari Anwar.
Sementara itu, ketika ditanyakan apakah Azmin akan dilantik ke jawatan perdana menteri dan bukan Anwar, Dr Mahathir menolak andaiaan itu dengan berkata ia (peralihan) akan diserahkan kepada Anwar.
“Saya tidak boleh mengatakan sama ada dua tahun atau tiga tahun, tetapi saya pasti akan turun seperti yang dijanjikan,” Tambah Ahli Parlimen Langkawi itu ketika ditanyakan tempoh masa peralihan itu akan dijalankan.
Sebagai rekod, HARAPAN telah mempersetujui bahawa Dr Mahathir dilantik perdana menteri interim dan bakal diserahkan kepada Anwar. – RF8 Media