Tindakan Ahmad Zahid Hamidi mempersoal keputusan mahkamah membebaskan seorang wanita berketurunan Cina dari tuduhan memandu secara melulu baru-baru ini membayangkan Presiden Umno itu tidak faham undang-undang.
we
Sambil menyifatkan ia sebagai kenyataan yang cuba mengapi-api sentimen kaum, bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan sempat ‘menyekolahkan’ Zahid.
Dalam satu laporan oleh Malaysiakini, Ambiga secara ringkas sudi menerangkan kepada Zahid bagaimana sistem undang-undang dijalankan dinegara ini.
“Saya akan kata kepada Zahid: Selamat datang ke Malaysia, di mana kedaulatan undang-undang tidak memihak mana-mana bangsa.
“Fakta dan undang-undang penting, bukan siapa diri kamu,” katanya dipetik portal itu.
Terdahulu, Zahid diatas pentas ceramah Tanjung Piai dilapor mempertikai keputusan Majistret Siti Hajar Ali untuk membebaskan Sam Ke Ting, 24.
Ia berkaitan pertuduhan memandu secara melulu yang menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak berbangsa Melayu dalam kejadian dua tahun lalu.
Sambil mempertahankan keputusan mahkamah, Ambiga berkata Siti Hajar memiliki keberanian untuk bertindak mengikut fakta dan undang-undang, tanpa pengaruh emosi atau ketakutan kaum.
Malah tindakan hakim membuat keputusan tanpa terkait isu kaum tegasnya adalah tindakan betul.
“Penyakit mengharapkan penghakiman diberi berdasarkan kaum tidak boleh dibenarkan berakar.
“Pihak pendakwaan boleh membuat rayuan jika mahu, proses undang-undang akan kembali dilaksanakan di mahkamah rayuan. Inilah bagaimana sistem kehakiman dan keadilan kita berfungsi.
“Ini bukan untuk mengatakan bahawa orang ramai tidak bersimpati dengan keluarga mangsa yang meninggal dunia itu. Tetapi undang-undang yang tidak mendiskriminasi berdasar alasan perkauman mesti ditegakkan,” tegas Ambiga lagi. – RF8 Media