Kempen pilihan raya kecil bagi Parlimen Tanjung Piai sudah pun melepasi pertengahan jalan dengan tarikh mengundi yang ditetapkan pada 16 November tetapi malangnya sokongan masyarakat Cina kelihatan merosot teruk berbanding pilihan raya umum lepas.
Hal ini dapat dilihat daripada ceramah-ceramah yang dianjurkan pemimpin DAP tidak mendapat sambutan. Ceramah Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi misalnya tidak dipedulikan oleh orang ramai tetapi ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh MCA mendapat sambutan hebat.
Salah seorang jurukempen DAP secara sukarela yang berada di Tanjung Piai, Jack Choo, berkata Pakatan Harapan hampir pasti kalah di kawasan Cina jika sesuatu tidak dilakukan.
Menurutnya kaum Cina amat tidak berpuas hati dengan kelambatan PH menunaikan janji-janji pilihan raya dan dalam beberapa kes mereka sebagai minioriti merasa seolah-olah dibuli dalam isu tulisan khat, tangkapan LTTE dan lain-lain
“Masyarakat Cina nampaknya tidak akan menyokong PH kali ini. Satu isu yang mereka kurang puas hati ialah pengurangan dana yang telah diperuntukkan kepada UTAR (institut pengajian tinggi yang diasaskan oleh MCA).
“Masyarakat Cina berpendapat walaupun UTAR diasaskan oleh MCA, peruntukkan dana tidak patut dikurangkan sebab yang menjadi mangsa adalah pelajar-pelajar UTAR,” katanya.
Jack juga memberitahu bahawa masyarakat India juga marah terhadap DAP sebab parti itu tidak membuat bantahan perihal isu Zakir Naik.
“Dari pandangan saya, undi dari masyarakat Cina dan India tidak akan menyebelahi PH di Tanjung Piai dan kalau DAP terus ‘tutup mulut’ dalam banyak perkara maka DAP akan kehilangan banyak kerusi dalam PRU15 nanti.
“Sembang-bual dengan masyarakat India dan Cina bukan sahaja di Tanjung Piai bahkan juga di kampung-halaman saya di KL menunjukkan kini orang Cina dan India tidak puas hati dengan Kerajaan PH sebab pada pendapat mereka, PH telah gagal melaksanakan banyak perkara yang dijanjikan dalam manifesto selain daripada gagal mengambil sebarang tindakan ke atas puak-puak yang mengungkitkan sentimen perkauman.
“Kerajaan PH tidak ada halatuju yang jelas dan ramai pengundi dari masyarakat Cina dan India menegaskan bahawa Anwar Ibrahim mesti mengambil-alih kuasa apabila tiba 10 Mei 2020 nanti.
“Walaupun para pengundi Cina dan India tahu jika bukan calon PH yang menang, tiada apa-apa perubahan dapat dilakukan oleh calon itu yang penting ialah para pengundi sekarang nampaknya ada hasrat untuk memberi amaran kepada Kerajaan PH supaya melaksanakan janji-janji yang tertera dalam manifesto PH,” tegas Jack. – RF8 Media