Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata rakyat perlu memberi lebih masa untuk kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji.
Menurutnya, walaupun kerajaan telah merangka pelbagai program namun tempoh yang lebih relevan perlu diberi untuk janji-janji manifesto PRU 14 boleh dilaksanakan dengan baik
“Itu yang kita harap rakyat perlu sabar sedikit. Bila kita dipilih jadi kerajaan, kita ada lima tahun…lima tahun pun belum habis..baru 18 bulan. Berikan masa kita untuk laksanakan semua ini.
“(Dan) dalam tempoh ini, kita boleh lihat bahawa kita masih teruskan program-program kebajikan, pembangunan dan sebagainya dan kedudukan Malaysia tidak terjejas. Kita masih dapat keyakinan daripada pelabur dan juga daripada syarikat penarafan kredit,” kata beliau sebelum sesi Bicara Kopitiam berdekatan Terminal Feri Antarabangsa Kukup, di Pontian, semalam.
Lim, yang juga setiausaha agung DAP, berkata adalah penting baginya untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai program-program ini serta beberapa program yang tidak dapat dilaksanakan kerana sebagai sebuah kerajaan baharu, kerajaan PH terpaksa menyelesaikan banyak masalah yang diwarisi daripada kerajaan sebelum ini.
Sebagai kerajaan PH yang berjiwa rakyat, beliau berkata sudah menjadi keutamaan kepada kerajaan PH mendengar segala rintihan rakyat dan mencari jalan untuk mengatasinya seperti mewujudkan peluang pekerjaan.
“Jadi berikan masa untuk kita laksanakan semua janji. Semua janji kerajaan PH yang dibuat, kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya.
“Ini adalah prinsip dan dasar kerajaan PH yang ditegaskan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad apabila kita ada mesyuarat tempoh hari bahawa kerajaan tetap akan pegang pada janji tetapi tolong beri masa,” kata beliau.
Justeru, beliau berharap agar masyarakat di Parlimen Tanjung Piai untuk terus memberi sokongan kepada PH supaya program pembangunan yang direncanakan oleh Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik akan dapat disempurnakan.
“Marilah kita habiskan (laksanakan), lengkapkan hasratnya untuk bawa apa yang beliau (Farid) telah rancangkan agar ia dapat dijadikan sebagai satu realiti,” katanya.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang ditetapkan hari pengundian pada 16 November, diadakan berikutan kematian Farid akibat komplikasi jantung pada 21 September lepas.
Calon PH Karmaine Sardini berdepan calon-calon daripada Barisan Nasional (BN), Gerakan, Berjasa dan dua calon bebas.