Video kontroversi kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang ditularkan baru-baru ini sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati antara penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) dipetik diluar konteks.
Jelas Pengerusi Bersatu Perak itu, video itu yang disunting dari perbualan bersama pengundi di Tanjung Piai Johor tidak menggambarkan keseluruhan perbualan.
Ini kerana tegasnya ia hanya memetik enam minit perbualan dari keseluruhan 20 minit.
Dalam ucapan awal itu katanya, beliau memberikan gambaran mengenai apa yang telah disampaikan oleh calon HARAPAN bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini.
“Apa yang saya cuba lakukan adalah mahu menarik perhatian mereka (penduduk) terhadap apa yang hendak saya katakan selepas itu iaitu untuk menyokong HARAPAN dan calon kami.
“Tetapi entah kenapa hanya beberapa komen saya mengenai rakan parti komponen dalam Kabinet sahaja yang telah dinaikkan,” katanya.
Baru-baru ini, dalam sebuah rakaman video yang tular, Ahmad Faizal dilihat bersama Karmaine sedang duduk bersantai dengan penduduk sambil menceritakan situasi yang sedang berlaku di negeri pimpinannya itu.
Separuh kenyataan itu berkaitan usahanya menjaga kepentingan Melayu dan Islam. – RF8 Media