Malaysia tidak akan membiarkan imej syarikat penerbangan milik negara terjejas, tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.
Dr Mahathir ketika mengulas laporan bahawa Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) telah menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia berkata Kerajaan akan mengambil langkah perlu bagi memperbetulkan keadaan.
“Kami akan betulkan keadaan, supaya seluruh dunia akan menghormati pihak berkuasa penerbangan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini.
Menurut laporan Reuters sebelum ini, FAA telah menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia, melarang syarikat penerbangan negara itu daripada menambah penerbangan ke Amerika Syarikat.
Menurut laporan itu lagi, penarafan Malaysia telah diturunkan ke Kategori 2.
Dengan penarafan yang baru bermakna penerbangan daripada Malaysia tidak dapat memulakan perkidmatan baru dan dihadkan kepada tahap sekarang terhadap setiap perkhidmatan sedia ada ke Amerika Syarikat. – RF8 Media