Pakatan Harapan menolak kempen pembangkang agar mengundi calon mereka sebagai tanda protes.
Pengerusi PH yang berkempen di Kukup Laut malam tadi, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kepada pengundi agar mengundi dengan rasional dan ‘tidak menembak kaki sendiri’ kerana marahkan kerajaan.
Katanya, hanya kerajaan memerintah sahaja yang boleh memberikan pembangunan manakala pembangkang tidak mampu berbuat demikian dan merugikan pengundi untuk baki 3 tahun.
Menurutnya, begitu banyak orang yang bertemu dengannya untuk menyelesaikan masalah kerajaan lalu sehingga beliau tidak mampu menunaikan janji.
“Sebab itu kita (pengundi) kena berhati-hati dalam pilihan raya. Kalau tidak, ada yang timbul perasaan benci dan marah.
“Kemudian kita undi bukan untuk mendapat kerajaan yang baik tetapi kerana marah dan balasan kepada orang yang kononnya buat perkara tidak baik walaupun tuduhan-tuduhan itu tidak berasas sama sekali,” katanya dalam ceramah perdana Pakatan Harapan.
Kelmarin, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata PH sedang berdepan defisit sokongan rakyat di Tanjung Piai.
Katanya, hasil taklimat jentera parti selepas kempen sejak 2 November lalu, pengundi dikesan tidak mahu mengundi PH semata-mata kerana mahu memberi pengajaran kepada kerajaan yang dianggap gagal menyelesaikan masalah rakyat.
Menurut Dr Mahathir, walaupun rakyat ada kuasa untuk memilih kerajaan, kuasa itu perlulah dilaksanakan dengan menimbang realiti masalah negara.
“Kalau kita tidak ambil berat masalah dalam negara… tempat kita, maka mereka yang tidak berfikiran waras akan terus jadi pemerintah dan kita jadi mangsa,” katanya dipetik TMI.
Jelasnya lagi, kerajaan PH mewarisi masalah peninggalan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga menyebabkan ia sukar mentadbir negara dengan baik seperti yang rakyat harapkan.
“Bukan mudah untuk perbaiki kesakitan yang dirasai oleh negara sekarang ini. Sama seperti penyakit teruk, bukan mudah untuk diubati dan demikian juga dengan negara.
“Kalau kita diberi masa hingga lima tahun, pastinya sakit-sakit ini boleh dipulihkan semula,” katanya.
Selain mendengar ceramah Dr Mahathir malam tadi, hadirin juga diedarkan dengan sepucuk surat terbuka perdana menteri kepada pengundi Tanjung Piai.
Dalam surat itu, Dr Mahathir antara lain meminta pengundi menolak mereka yang menyokong politik perkauman yang sempit.
Katanya, adalah mustahil sekiranya semua kaum di negara ini merasakan masing-masing mereka tidak dilayan dengan baik oleh kerajaan.
“Dua perkara ini tidak boleh berlaku dalam satu masa yang sama dengan kerajaan yang sama. Jika orang Melayu merasa bahawa kerajaan ini gagal mempertahankan kepentingan Melayu, maka orang bukan Melayu seharusnya rasa puas hati.
“Dan jika orang bukan Melayu merasa tidak puas hati dengan kerajaan ini kerana dikatakan tidak mempertahankan kepentingan mereka, seharusnya orang Melayu merasa puas kerana mendapat kehendak mereka,” katanya.