Rafizi boleh melakukan ‘kebangkitan semula’ dalam politik selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini mengetepikan sabitan terhadap beliau dan bekas kerani Public Bank Johari Mohamad kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia)
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Yazid Mustafa dalam penghakimannya turut membebaskan serta menggugurkan tertuduh daripada hukuman penjara 30 bulan yang dikenakan sebelum ini.
Beliau menyampaikan keputusan itu pada akhir rayuan Rafizi dan Johari terhadap sabitan berhubung pendedahan data perbankan dari akaun National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya Mohd Salleh Ismail pada tahun 2012.
Mohd Yazid memutuskan bahawa beliau membenarkan permohonan Rafizi kerana pendakwaan gagal mengemukakan dokumen asal sebagai keterangan dalam perbicaraan, yang merupakan syarat di bawah Seksyen 61 Akta Keterangan.
Rafizi, yang juga Naib Presiden PKR dan Johari dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 7 Februari 2018 selepas Hakim Zamri Bakar mendapati mereka bersalah kerana mendedahkan data perbankan dari akaun NFC.
Hakim Zamri dalam penghakimannya tahun lalu berkata pendakwaan telah membuktikan bahawa Rafizi dan Johari telah melanggar Akta Bafia.
Kedua-dua mereka didakwa pada 2012 kerana melanggar Seksyen 97 Bafia bagi pendedahan empat akaun milik NFC dan Mohd Salleh, yang merupakan suami bekas ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.
Untuk rekod Rafizi tidak mempertahankan kerusi parlimen Pandan yang dimenanginya pada pilihan raya umum ke 13 berikutan sabitan bersalah tersebut yang memungkinkan pilihan raya kecil diadakan sekiranya beliau dipenjara selama 30 bulan kerana kelayakannya sebagai ahli parlimen terbatal.
Rafizi juga tidak disenaraikan dalam kabinet Tun Mahathir atas alasan yang sama. Berikutan keputusan ini, beliau boleh dilantik sebagai senator dan dilantik sebagai menteri kabinet pada masa hadapan sekiranya Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki kerusi PM.