Musuh politik Pakatan Harapan (HARAPAN) dilihat berada dalam keadaan terdesak untuk menang pada Pilihan raya Kecil (PRK) Tanjung Piai hari ini.
Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil berkata pihak tidak bertanggungjawab telah mengedarkan surat palsu yang meminta pendokong ahli PKR agar tidak keluar mengundi.
Fahmi berkata surat palsu itu cuba menggambarkan bahawa ia ditandatangani oleh setiausaha agung parti Saifuddin Nasution Ismail.
“Surat ini jelas direkayasa musuh politik HARAPAN yang mahu mencetus salah faham di kalangan anggota KEADILAN dan rakan-rakan HARAPAN.
“Ia adalah tindakan kotor lagi terdesak puak-puak yang enggan berpolitik secara sihat,” katanya dalam kenyataan media.
Sementara itu, Fahmi sekali lagi mengulangi komitmen anggota PKR terhadap calon HARAPAN, Karmaine Sardini.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua ahli dan jentera membantu memastikan kemenangan Karmaine di kerusi tersebut.
Semalam, surat palsu yang tersebar di media sosial itu mengandungi arahan presiden Anwar Ibrahim agar anggota parti tidak keluar mengundi.
Kononnya ia bagi memberi tekanan politik kepada (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad supaya mematuhi perjanjian penyerahan kuasa. – RF8 Media