Bekas perdana menteri Najib Razak ada mengarahkan mesyuarat diadakan bagi membincangkan pengguguran sebahagian daripada laporan audit berkaitan syarikat kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perkara itu didedahkan bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa dalam kes pertuduhan jenayah membabitkan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur siang tadi.
Ali, yang menjawat jawatan itu dari 2012 hingga Ogos 2018, dipanggil sebagai saksi pihak pendakwaan.
Tambah Ali, Najib yang juga merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB tidak berpuas hati dengan kandungan Laporan Audit syarikat itu yang diperlu dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 24 Feb 2016.
Dirinya dan bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang jelasnya telah dipanggi berjumpa Najib ke Pejabat Perdana Menteri pada 22 Feb 2016.
“(Dalam pertemuan itu) Najib menyatakan beliau tidak mahu dua penyata kewangan berlainan bagi 1MDB dikemukakan dalam Laporan Audit 1MDB. Pada masa itu, saya tidak tahu apa masalahnya dengan penyata kewangan tahunan 1MDB yang dikemukakan dalam Laporan Audit 1MDB.
“Saya ingin menjelaskan di sini, sungguhpun saya adalah anggota lembaga penasihat 1MDB, saya tidak pernah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat sebagai seorang daripada anggota lembaga penasihat 1MDB,” jelasnya.
Ditanya oleh pihak pendakwaan, Sri Ram apakah perilaku Najib semasa pertemuan itu, Ali berkata beliau dapati Najib kelihatan agak susah hati.
Sementara itu jelas Ali lagi, Najib ada mengarahkannya untuk mengadakan mesyuarat penyelarasan antara Jabatan Audit Negara (NAD) dan Arul Kanda.
Malah diarahkan supaya tidak mencetak Laporan Audit 1MDB sehinggalah mendapat kelulusan beliau (Najib)
Najib mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan menerima suapan dalam bentuk perlindungan daripada tindakan etika, sivil atau jenayah terhadapnya berkaitan 1MDB, dengan mengarahkan pengubahan laporan audit akhir sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
Najib didakwa melakukan kesalahan itu antara 22 dan 26 Februari 2016 di Jabatan perdana Menteri di Putrajaya.
Bawah seksyen 24 akta sama, Najib boleh dikenakan tindakan 20 tahun penjara atau denda RM10,000 jika disabitkan bersalah. – RF8 Media