Khairuddin Daud
Dalam usaha kerajaan membasmi kemiskinan dalam kalangan petani dan nelayan di negara kita melalui agenda Reformasi Pertanian, hari ini Wee Ka Siong, Ahli Parlimen Ayer Hitam (Barisan Nasional) bangkit mempertikaikan pemberian kontrak baja subsidi kepada NAFAS. Menurut ucapannya, tanpa mendedahkan sumber yang sahih, kontrak baja subsidi diberi secara rundingan terus kepada NAFAS dan MOA melakukan skandal apabila membatalkan keputusan Jawatankuasa Tender.
Umum mengetahui, Pertubuhan Peladang Kebangsaan atau NAFAS adalah satu entiti yang menjadi tempat pergantungan 920,000 orang ahli peladang di 14 Pertubuhan Peladang Negeri serta 279 buah Pertubuhan Peladang Kawasan dibawahnya. Kesemua pertubuhan peladang ini bergantung kepada NAFAS dalam memperolehi pendapatan melalui subsidi baja sejak 22 tahun!
Pendapatan inilah yang digunakan oleh Pertubuhan Peladang bagi mengoperasikan Pertubuhan Peladang hingga ke peringkat unit dan mengembangkan perniagaan PPK di semua kawasan.
Memetik ucapan Dato Seri Anwar Ibrahim 9 November lalu, di acara Jalinan Mesra Peladang 2019 di Selayang, beliau menegaskan NAFAS perlu dibantu oleh Kerajaan kerana ia tidak sama seperti Persatuan atau pertubuhan lain. Ia menjadi pergantungan ramai petani dan peladang. Maka sewaktu beliau menjadi Menteri Pertanian, beliau mahu subsidi baja diuruskan oleh NAFAS supaya memberi pendapatan tambahan kepada para petani.
Sebagai salah seorang Pengerusi PPK, saya melahirkan rasa kecewa dengan ucapan MP Ayer Hitam yang dilihat menyebelahi pihak Syarikat Swasta yang tidak ada kena mengena pun dengan ahli pertubuhan peladang berbanding Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Mungkin juga beliau lupa sejak 22 tahun, sejak era Barisan Nasional lagi, dan beliau juga Ahli Parlimen pada ketika itu, NAFAS menguruskan subsidi baja ini kepada ahli-ahli Peladang di seluruh Malaysia. Mengapa sewaktu itu beliau tidak pernah mempertikaikan NAFAS?
Tiba-tiba apabila bertukar kerajaan, NAFAS dipertikaikan daripada mendapat kontrak menguruskan baja subsidi. Dan mahu syarikat swasta yang tidak ada kena mengena dengan Peladang menguruskan subsidi baja ini.
Begitu juga dengan keupayaan NAFAS mengendalikan subsidi ini tidak boleh dipertikaikan lagi. Kilang NAFAS sahaja berupaya mengeluarkan 310,000 MT baja setahun, sedangkan baja subsidi cuma 250,000 MT hingga maksimum 280,000 MT setahun, masih dibawah kapasiti NAFAS.
Keuntungan kilang Baja Nafas inilah yang memberikan dividen 8% kepada Ahli Peladang dan kepada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubhgan Peladang Kawasan (PPK) dan ahli PPK. Malah, NAFAS mengeluarkan zakat kepada asnaf dalam kalangan Peladang, sekitar RM 10-12 juta setahun dan memberi biasiswa kepada pelajar cemerlang melalui Yaysan Pelajaran Peladang.
Selain itu, pertikaian yang dibangkitkan Wee Ka Siong telah dijawab lebih awal oleh Timbalan Menteri kewangan Febuari lalu setelah melawat Kilang. Beliau menyatakan bahawa “Produk ini dihasilkan oleh NAFAS, kemudiannya kembali kepada ahli itu sendiri”. Baca: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/02/527573/tender-bekal-baja-subsidi-mungkin-diberi-kepada-nafas
Sehubungan itu, kami melahirkan kekecewaan diatas kenyataan Wee Ka Siong yang dilihat tidak menyebelahi petani dan peladang di negara ini. Suara beliau di Parlimen tidak mewakili masyarakat Peladang dan Petani negara ini, bahkan merencatkan perkembangan industri pertanian di negara kita. Kami juga merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada YB Salahudin Ayub, dan YB Sim Tze Tzin, Menteri dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, kerana terus membela nasib para petani dan peladang di Malaysia. Anda adalah hero Petani!
Khairuddin Daud
Pengerusi
Pertubuhan Peladang Kawasan Kudat