Menang dalam pilihan raya kecil di Parlimen Tanjung Piai Sabtu lalu bukan petanda BN akan menang dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15)
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Mohd Yusri Ibrahim berkata, kedua-dua situasi bagi PRU dan PRK adalah berbeza serta membabitkan kelompok pengundi yang berbeza. PRU, menurutnya lebih luas, pengundi terdiri daripada golongan kelas pertengahan dan kelas atas.
Mereka ini, katanya, akan memikirkan isu-isu nasional seperti kes perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi sebelum menentukan sokongan.
“Untuk PRU, mereka (pengundi) mengundi kerana negara. Mereka mengundi untuk beri mandat kepada kerajaan yang akan mentadbir mereka terutamanya kelas pertengahan dan ke atas mereka mengundi bukan sebab isu yang kecil.
“Mereka mengundi pada gagasan yang lebih besar,” katanya dipetik Malaysiakini dalam seminar pasca PRK Tanjung Piai di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Keputusan pada 16 November lalu, menunjukkan calon BN Wee Jeck Seng mengalahkan wakil Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini dengan majoriti sebanyak 15,086 undi. Dia memperolehi 25,466 undi, sementara Karmaine pula mendapat 10,380 undi.
“Walaupun 15,000 beza ia ketara tetapi bukan petunjuk utama BN akan menguasai Putrajaya dengan mudah. Banyak lagi permainan-permainan yang akan berlaku selepas ini,” kata Mohd Yusri.
Beliau berkata isu-isu nasional yang melibatkan salah guna kuasa pemimpin kanan BN ketika kempen di Tanjung Piai tidak relevan digunapakai sewaktu PRK.
“PRK, pengundi mengundi pada situasi itu. Mereka mengundi untuk suara mereka didengar pada waktu itu.
“Jadi sebarang ketidakpuasan hati, sebarang ketidakselesaan akan diterjemahkan dalam PRK pada waktu itu. Mereka tidak kisah sebab kerajaan tak berubah.
“Dalam kes PRK, isu perbicaraan Najib, isu perbicaraan Zahid Hamidi tak relevan. Tapi bila menjelang PRU, isu ini kembali relevan.
“Sekiranya Zahid masih lagi mengemudi BN ataupun Muafakat Nasional ataupun akan menjadi perdana menteri, pada waktu itu (golongan) kelas pertengahan akan berfikir adakah ini orang yang akan kita mengundi beri kepercayaan untuk meneraju Malaysia semula sebagai perdana menteri?” katanya.
Mohd Yusri pada pembentangannya juga berkata beliau tidak mendapat petunjuk bahawa pengundi Cina sebenarnya menyokong BN mahupun Muafakat Nasional secara total. Sebaliknya, kata beliau mereka sebenarnya berbuat demikian kerana perasaan marah terhadap kerajaan dengan situasi sekarang.
Katanya, masyarakat Cina di Tanjung Piai merasakan suasana ketika ini tidak begitu kondusif untuk perniagaan.
“Jadi masyarakat Cina ni prihatin pasal bisnes. Jadi kalau masalah bisnes mereka akan salahkan kerajaan. Jadi itu yang berlaku di Tanjung Piai dan protes ini disusun dengan baik untuk diterjemahkan dalam undi,” katanya.