Lapan cek tempatan bernilai RM65,321.83 telah dikeluarkan Ahmad Zahid Hamidi bagi tujuan pembayaran hutang kad kredit.
Anoop Singh Gulzara Singh, 46, membuat pendedahan itu di Mahkamah Tinggi ketika menjadi saksi dalam perbicaraan kes jenayah melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Tambah Naib Presiden yang bertanggungjawab dalam pengurusan penipuan dan pertikaian kad kredit Malayan Banking Berhad (Maybank) itu, cek-cek berkenaan dibayar kepada Maybank Card Centre antara 19 Februari 2014 dan 9 Julai 2015.
Ia bagi kad kredit dan kad caj American Express (AMEX) antara Februari 2014 dan Julai 2015.
“Satu pembayaran dibuat pada 20 Mac, 2015 bagi Visa Platinum dan satu pembayaran dibuat pada 9 Julai 2015 untuk AMEX Platinum,” katanya.
Anoop Singh juga memaklumkan mahkamah bahawa selain Kuala Lumpur, Ahmad Zahid juga menggunakan kad berkenaan di Kiev, Ukraine dan Seoul, Korea Selatan.
“Merujuk kepada penyata kad kredit bertarikh 24 Jun, 2014, (kad) Visa digunakan untuk satu urus niaga di sini berjumlah RM5,900. Penyata bertarikh 24 Julai pada tahun yang sama menunjukkan beberapa transaksi dibuat di Kiev, Ukraine dengan jumlah urus niaga sebanyak RM7,604.90.
“Merujuk kepada penyata bertarikh 26 Mei dan 26 Jun, 2015, kad AMEX digunakan di tiga perniagaan dan satu transaksi di pasar raya di Seoul, Korea sebanyak RM32,446.46,” kata saksi kesembilan itu.
Menurut saksi itu, akaun Mastercard ditutup pada 16 April, 2014 manakala dua kad lain masih aktif sehingga hari ini.
Ahmad Zahid, 66, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan akan bersambung 2 Disember hadapan. – RF8 Media