Peralihan kuasa antara Perdana Menteri (PM) Tun Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu diperbesar-besarkan kerana isu itu tidak berbangkit dalam kalangan pemimpin utama Pakatan Harapan (Pakatan).
Bercakap dalam Konvensyen Reformis 1998 semalam, Anwar mengakui beliau lebih risaukan agenda pembaharuan dan pembelaan rakyat berbanding kedudukan beliau sebagai PM yang telah pun pasti dan rasmi.
“Semalam (23 November) dalam mesyuarat Majlis Pakatan yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir, semua pimpinan mengulangi mengenai transisi itu.
“Tun Mahathir PM, Azizah Timbalan dan Anwar PM ke 8 (perjanjian 7 Januari 2018). Itu sudah beres.
“Kita bincang dalam Majlis Pakatan yang putuskan siapa PM (perlantikan Tun Mahathir). Majlis Pakatan juga tentukan bila berubah (peralihan kuasa).
“Adakah saya risau? Saya tidak risau. Yang saya risau program rakyat.
“Saya mahu, baik PM ke 7 atau PM ke 8 jangan lupa beri perubahan kepada rakyat. Jangan lupa dasar ekonomi peduli rakyat. Jangan lupa (perjuangan basmi) kemiskinan,” katanya disambut tepukan gemuruh hampir 1,000 reformis yang memenuhi dewan konvensyen di IDCC, Shah Alam. – RF8 Media