Laporan media berhubung dakwaan bahawa abu mayat bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng telah dibawa masuk ke Malaysia mengemparkan banyak pihak.
Ramai tidak senang dengan tindakan itu, sebahagian warganet berpandangan ia sangat melampau memandangkan kekejaman dilakukan PKM satu ketika dahulu.
Menyedari kegelisahan umum, Kementerian Dalam negeri (KDN) berjanji untuk menyiasat kesahihan perkara tersebut.
Malah mereka menegaskan bahawa tiada perubahan terhadap larangan sebelum yang tidak membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke negara ini.
“Sehingga kini memang tiada permohonan diterima dan KDN sendiri tidak pernah tahu abu mayat Chin Peng berkenaan sudah dibawa masuk pada 16 September lalu sebagaimana dilaporkan portal berita (Malaysiakini) terbabit.
“KDN hanya mendapat maklumat mengenainya apabila menerima persoalan daripada pelbagai pihak termasuk media hari ini,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman dipetik satu laporan media.
Malaysiakini dalam laporannya semalam berkata satu kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai kumpulan pengurusan abu mayat Chin Peng telah membawa pulang abu pemimpin PKM itu dari Thailand dua bulan lalu.
Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan yang dihadiri 150 individu diadakan pada hari sama.
Kumpulan itu juga telah menaburkan abu mayat Chin Peng di laut berhampiran Lumut di Perak dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa, tanpa sebarang tugu mengenang tapak-tapak tersebut.
Sebagai rekod, Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua lahir di Sitiawan, Perak pada 1924.
Dia tinggal dalam buangan di Thailand sejak Perjanjian Damai Hat Yai 1989 dan meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada usia 90 tahun kerana sakit tua.
Sementara itu Azis Jamman berkata, tindakan akan diambil sekiranya benar abu mayat Chin Peng dibawa pulangs eperti didakwa.
“Siasatan ini bagi memastikan sama ada perkara itu betul berlaku agar tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pihak yang membawanya masuk serta yang membenarkan ia dibawa masuk,” katanya. – RF8 Media