Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan menolak permohonan parti Gerakan agar tulisan Jawi tidak diajar di sekolah Cina dan Tamil di seluruh negara.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Amarjit Serjit Singh dalam keputusannya berkata Jawi sebahagian daripada Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.
Beliau berkata pelaksanaan kelas Jawi tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Pada September lepas, Gerakan telah memfailkan saman terhadap kerajaan Pusat bagi mencabar keputusan kerajaan yang mahu melaksanakan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.
Gerakan yang memfailkan saman itu melalui Presidennya Dominic Lau Hoe Chai menamakan Menteri Pendidikan Maszlee Malik, Timbalannya Teo Nie Ching dan kerajaan Persekutuan sebagai responden.
Gerakan diwakili peguam Tan Lee Kiat dan Mak Kah Keong.
Mak ketika dihubungi di George Town semalam berkata jawatankuasa pusat Gerakan akan bermesyuarat untuk menentukan sama ada mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.