Penyokong Mohammed Azmin Ali dicabar dengan sukarela keluar parti dan menubuhkan sebuah parti politik baharu jika mahu terus membuat penentangan terhadap keputusan parti itu.
Kenyataan itu dibuat Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Syed Badli Shah Syed Osman susulan pergeseran dalam isu perasmian kongres AMK di Melaka tidak lama lagi.
Sambil menyifatkan kumpulan penyokong Azmin sebagai cuba mengelirukan ahli akar umbi, beliau menegaskan bahawa hanya ada satu majlis Perasmian Kongres AMK dan ia akan dirasmikan oleh Penasihat PKR Wan Azizah Wan Ismail.
“Tiada istilah perasmian pembukaan dan perasmian penutup bagi Kongres Nasional AMK 2019 yang bakal berlangsung pada 6 Disember 2019 di MiTC Melaka.
“Yang ada hanyalah satu majlis perasmian sahaja iaitu Perasmian Kongres AMK yang akan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Penasihat PKR merangkap Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail,”
“Sekiranya pihak berkenaan berniat untuk berterusan melanggar saluran rasmi parti, saya mencadangkan agar mereka keluar dari parti dan menubuhkan parti baru,” katanya.
Terdahulu, penyokong pro Azmin membidas keputusan sayap pemuda itu yang tidak memilih pemimpin mereka bagi merasmikan kongres AMK.
Laluan diberikan kepada bekas Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai tanda penghargaan terhadap jasa beliau memimpin parti itu sejak 20 tahun lalu.
Di kalangan penyokong, Azmin sendiri dilihat sebagai seorang pemimpin yang telah hilang arah apabila kerap tidak menghadiri mesyuarat majlis tertinggi parti serta membuat banyak kenyataan yang menentang konsensus diputuskan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Azmin yang dikaitkan dengan video hubungan sejenis bersama bekas pembantu seorang timbalan menteri turut didakwa merancang menubuhkan sebuah kerajaan ‘pintu belakang’
Ketidakyakinan pendokong parti serta HARAPAN terhadap Azmin semakin tercalar apabila bekas Menteri Besar Selangor itu mengadakan pertemuan rahsia dengan beberapa pemimpin Umno di kediaman mereka baru-baru ini.
Sementara itu, desas-desus kononnya ada rancangan berlaku pemulauan majlis oleh penyokong pro-Azmin pada perasmian oleh Dr Wan Azizah nanti benar, tindakan seorang lagi penyokong Azmin, Haniza Talha menjemput AMK untuk menyertai kongres bersama Wanita PKR pada hari sama seolah-olah mengiyakan rancangan itu.
Sebelum ini, seorang pemimpin AMK mendedahkan bahawa Azmin Ali akan terus menimbulkan masalah dalam parti bagi memastikan tindakan pecat dikenakan terhadapnya.
Ahmad Syukri Razab berkata, rancangan itu sengaja dibuat supaya Azmin dan penyokongnya boleh mendakwa Azmin teraniaya dan diangkat sebagai ‘hero’ sekiranya dia disingkir dari parti.
Difahamkan, undang-undang parti menetapkan mana-mana wakil rakyat parti itu yang melompat parti bakal dikenakan denda RM10 juta.
Seorang pemimpin parti itu, Datuk Johari Abdul berkata amalan itu yang bertujuan menghalang berlakunya pengkhianatan kepada rakyat telah memulakan amalan itu sejak 2013.
Ia susulan beberapa pemimpin mereka beralih arah selepas pilihan raya umum 2008. – RF8 Media