Kenyataan menggesa pemecatan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Zakaria Abd Hamid mula dipertikaikan apabila terdapat pemimpin yang mendakwa perkataan meminta Presiden PKR Anwar Ibrahim meminta maaf tidak terdapat dalam draf asal.
Anwar juga tidak melayan kenyataan bersama yang ditandatangani 20 pemimpin PKR itu.
Beliau mendakwa, dua pemimpin yang menandatanganinya, naib presiden Tian Chua dan anggota MPP R Sivarasa tidak setuju dengan sebahagian kandungannya.
“Mereka tak setuju bahagian yang meminta saya memohon maaf atas pemecatan Zakaria. Bahagian itu tiada dalam draf.
“Ini bermakna ada sesuatu yang memanipulasi surat itu kerana surat itu tidak betul seluruhnya,” katanya ketika sidang media di Pulau Pinang semalam.
Bagaimanapun Anwar menjawab tidak tahu apabila disoal wartawan siapakah yang disangkanya mengubah kandungan asal tersebut.
“Saya tak tahu tapi timbalan presiden yang tandatangan.
“Kenyataan perlu dipersetujui semua tetapi ada bahagian yang tiada dalam draf. Biar mereka jelaskan perkara itu dulu,” katanya lagi.
Selain Azmin, Tian Chua dan Sivarasa, kenyataan itu turut ditandatangani Amiruddin Shaari, Saifuddin Abdullah dan 13 anggota MPP, termasuk Zakaria sendiri.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau terbuka jika lembaga disiplin PKR ingin menilai semula pemecatan Zakaria, kerana ia adalah hak yang dimiliki semua anggota parti.
“Lebih baik Zakaria membuat rayuannya sendiri terhadap pemecatannya,” kata beliau.
Katanya lagi, isu itu bukan persoalan politik atau pergeseran antara kem tetapi PKR ialah sebuah parti yang berasaskan dasar reformasi, termasuk melawan rasuah.
“Walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akui mereka tersilap menghantar surat itu kepada PKR, tetapi mereka tidak menyangkal kandungan surat itu, yang membabitkan Zakaria,” katanya lagi.
Dalam sidang media sama, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution mendedahkan kandungan surat SPRM berkenaan Zakaria dengan membacakannya kepada pemberita.
Saifuddin berkata PKR menerima surat itu pada 23 Oktober lalu, yang mana SPRM secara spesifik menyatakan nama pesalah, kesalahan yang dilakukan, tarikh dan lokasi ia didakwa berlaku dan maklumat berkenaan individu yang disoal siasat.
Menurut surat itu, Zakaria – yang merupakan bekas setiausaha politik Menteri Kerja Raya Baru Bian – didakwa menawarkan projek kementerian itu yang bernilai RM20,000.
Beliau berkata keseluruhan surat itu telah ditunjukkan kepada MPP dan tindakan parti sebelum ini berdasarkan pernyataan tuntutan daripada pihak berkuasa berkenaan siasatan rasuah yang tertinggi di negara ini.
Katanya lagi, sepucuk surat kemudian dihantar kepada Zakaria dan beliau diberi masa dua minggu untuk membuat rayuan.
Jika rayuan dibuat, lembaga disiplin akan membuat pertimbangan dan cadangan kepada MPP, katanya lagi.
“Selepas membaca kandungan surat itu, adakah anda fikir kami perlu minta maaf?”
Sebelum sidang media berakhir, Saifuddin ditanya jika PKR sedia berdepan dengan perpecahan besar dalam parti itu ekoran konflik yang berlaku.
“Kami telah menempuhi banyak episod, kami sedia berdepan apa saja,” katanya lagi.
Sidang media itu dibuat selepas Anwar menghadiri program “Dialog Peradaban Islam-Konfusianisme” yang diadakan di Bayan Baru.