Penganugerahan konsesi balak di Terengganu di bawah kerajaan Pas sejak 2018 berubah kepada polisi lebih bijaksana.
Berbanding kerajaan terdahulu yang mengutamakan kroni atau orang kuat Umno, kerajaan Pas di bawah MB Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menolak memberi kawasan balak kepada individu.
Cara tersebut dijangka mengurangkan amalan kronisme dan hanya syarikat yang mempunyai modal besar serta berkelayakan sahaja yang akan memperolehi konsesi.
Hal ini boleh memastikan agar alam sekitar dijaga dengan lebih baik, berbanding individu yang memperolehi konsesi dan menyerahkan kepada kontraktor kurang berpengalaman menebang pokok.
Namun, semuanya seolah-olah berputar 180 darjah ke belakang apabila baru-baru ini tular surat didakwa kelulusan membalak daripada kerajaan negeri Terengganu kepada penama individu.
Surat yang bertarikh 30 September 2019 itu didakwa menganugerahkan konsesi pembalakan di kawasan Belara, Kuala Terengganu, seluas 106 hektar.
Sehubungan itu, kerajaan negeri Terengganu digesa menjelaskan situasi sebenar, sama ada surat berkenaan sahih atau sebaliknya.
Atau adakah berlaku perubahan polisi Kerajaan Negeri berhubung penganugerahan konsesi balak untuk kembali kepada cara era rejim BN.