Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan khabar angin bahawa ia ditemui pemimpin tertentu yang mengusahakan perdamiaan diantara beliau dan timbalannya, Mohammad Azmin Ali.
Bercakap kepada media di Parlimen semalam, Anwar menjelaskan beliau ada bertemu beberapa pemimpin, namun ia sekadar perbincangan biasa.
“Semalam, ada majlis pengajian (tazkirah) di rumah saya… ada daripada AMK (Pemuda PKR), Wanita datang, saya berjumpa semua.
“Mesej saya (ialah) jangan persulitkan kerjasama, jangan gunakan forum untuk menyerang sesiapa, bermuafakat untuk bangkitkan kesedaran parti dengan satu agenda,” katanya.
Tegas Anwar lagi, sebagai satu parti, beliau percaya semua pemimpin matang dan berpengalaman dalam memperkuatkan parti yang terbesar mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.
“Perbincangan saya terbuka, saya jumpa Ahli Parlimen, ketua negeri dan tidak kira kumpulan mana tapi tidak ada perbincangan khusus agenda untuk berdamai kerana parti ini satu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen pada Isnin.
NST melaporkan Tian Chua mengadakan pertemuan dengan Anwar pada tiga hari lalu tetapi lokasi dan masa ia berlangsung tidak didedahkan.
Tian Chua dianggap antara pemimpin kanan parti itu yang berada dalam kumpulan Azmin.
Pergeseran dalam KEADILAN meruncing susulan keputusan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) tidak memilih Azmin sebagai perasmi kongres yang bakal diadakan di Melaka.
Sebaliknya penghormatan diberi kepada bekas Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perasmi sebagai menghargai jasa ditabur Wan Azizah sejak penubuhan parti itu 20 tahun lalu.
Perang antara penyokong Azmin dan pendokonG KEADILAN bertambah meruncing apabila seorang pemimpin yang rapat dengan Azmin dipecat susulan dakwaan salah laku rasuah membabitkan beberapa kementerian yang turut diterajui individu yang dipercayai rapat dengan Azmin. – RF8 Media