Wakil Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan membuat satu laporan polis terhadap penulis blog Raja Petra Kamaruddin siang tadi.
Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 10.30 pagi ini berhubung tuduhan Raja Petra kononya Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong terbabit membawa masuk abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng baru-baru ini.
Pegawai Media kepada Chin Tong, Izmil Amri Ismail berkata, fitnah itu dibuat menerusi penulisan bertajuk ‘The Fake Ashes Of Chin Peng’ menerusi portal berita Malaysia Today, semalam.
Dalam penulisannya, Raja Petra mendakwa Chin Tong adalah individu di sebalik perancangan menyeludup masuk abu Chin Peng sebulan sebelum pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai diadakan.
“Laporan polis dibuat terhadapnya dan Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan berkemungkinan mempertimbangkan bagi mengemukakan tindakan saman sivil selepas perbincangan bersama peguam,” kata Izmil.
Tegasnya, fitnah yang dilakukan Raja Petra bertujuan mengalihkan tumpuan umum daripada isu utama minggu ini termasuk pembentangan Kertas Putih Pertahanan (KPP). – RF8 Media