Parti Warisan Sabah (Warisan) akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang akan diadakan tidak lama lagi.
Perkara itu disahkan Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sendiri.
Beliau yang juga Ketua Menteri menjelaskan bahawa sudah ada persefahaman mengenainya kerana pihak parti Warisan juga yang membawa kes berkenaan ke mahkamah.
Namun jelasnya, setakat ini siapa calon yang akan dipilih untuk bertanding pada PRK itu masih belum ditentukan.
Ditanya adakah pihaknya akan mengekalkan calon sebelum ini, Datuk Karim Bujang, beliau berkata, pihaknya belum menentukan siapa dan masih melihat beberapa nama untuk dipertimbangkan.
“Apa yang penting, calon itu mestilah digemari pengundi dan boleh berkhidmat dan mampu bekerja kuat,” katanya dalam satu sidang media di Kota Kinabalu.
Sementara itu, Shafie mengingatkan jentera parti untuk sentiasa menjaga hubungan baik dengan pengundi.
“Kita mesti bersiap sedia dalam tempoh masa yang ada dan jangan terlampau angkuh atau sombong.
“Kita berusaha mencari pengundi ke kampung-kampung dan di tempat yang kita yakin mereka boleh tentukan siapa yang akan mewakili mereka di kawasan itu,” katanya lagi.