Kekecohan dalam kongres PKR di MITC Melaka baru-baru ini bukan sahaja menerbitkan pelbagai dugasangka dalam kalangan ahli PKR malah pemimpin DAP juga berspekulasi mengenai dakwaan usaha-usaha terancang menggagalkan persidangan tahunan berkenaan.
Sebagai parti yang mendukung kuat perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1998, beberapa pemimpin DAP melihat huru-hara tersebut dicetuskan bertujuan untuk melemahkan kepimpinan Anwar dan memberi alasan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) atau pun Tun Mahathir agar tidak menyerahkan jawatan perdana menteri.
Menurut ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu dari DAP, kekecohan itu mampu menggugat peralihan kuasa atas alasan Anwar tidak berupaya mewujudkan kestabilan politik dalam parti terbesar PH dan tentunya akan gagal mentadbir negara.
“Kekecohan yang berlaku dalam Kongres Nasional PKR (6 hingga 8 Disember 2019) mungkin dirancangkan oleh puak-puak yang berniat untuk mencemarkan nama baik PKR dan pada masa yang sama untuk merunsingkan Anwar Ibrahim.
“Dengan ini sudah jelas ada rancangan oleh puak-puak tertentu untuk memberi gambaran kepada umum bahawa Anwar kononnya tidak boleh memimpin dengan baik.
“Puak-puak ini patut hentikan ‘aktiviti’ mereka sebab sudah diketahui umum rakyat sedang menunggu Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Malaysia memerlukan kestabilan politik dan insiden seperti di atas bukanlah satu perkara yang baik.
“Pada masa seluruh dunia sedang menghadapi situasi ekonomi yang lembab, Malaysia tidak perlukan insiden kekecohan seperti itu kerana kita perlu menarik ramai pelabur asing datang ke negara kita,” katanya.
Timbalan Pengerusi DAP Pahang M Manogaran pula berharap bahawa pemimpin-pemimpin dalam PKR yang berselisih faham segera sedar diri dan kembali ke meja rundingan.
Menurut beliau tidak ada gunanya menyambut strategi adu domba musuh yang akan menggugat kerajaan PH secara keseluruhan.
“Saya harap kemelut dalam PKR akan selesai tidak lama lagi. Sebagai parti tunjang koalisi Kerajaan PH, PKR mestilah kuat dan stabil. Pergaduhan secara terbuka hanya akan melemahkan jentera Kerajaan PH apabila pemimpin-pemimpin dalam sesuatu parti tidak dapat bekerjasama,” katanya.
Beliau memberi amaran kepada semua parti dalam koalisi PH supaya berdiri teguh kerana pihak lawan sentiasa akan mencari dan menyerang kelemahan PH.
“Pihak pembangkang sedang memerhatikan kita dengan teliti. Kalau kita tersilap langkah, pihak lawan akan mendapat peluang untuk menjatuhkan Kerajaan PH.
“Ini bukan mustahil dilakukan oleh mereka. Justeru itu, semua pihak dalam PKR wajar ketepikan kepentingan sendiri dan demi kebaikan rakyat dan negara,” tambah Manogaran.