Kenyataan Naib presiden KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli yang baru-baru ini membayangkan untuk meninggalkan dunia politik tanahair mengejutkan banyak pihak.
Di media sosial, tidak kurang yang mahu Rafizi membatalkan niat itu kerana beliau cukup dikenali sebagai ‘seorang’ tokoh utama yang giat berusaha untuk menumbangkan kerajaan sebelum ini.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu, yang melepaskan kerusi disandangnya kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah juga cukup terkenal dengan pelbagai pendedahan salahlaku pemimpin kerajaan sebelum ini yang didedahnya kepada umum.
Niat Rafizi meninggalkan dunia politik turut mendapat perhatian Pengerusi KEADILAN Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menteri Besar itu mahu Rafizi menimbangkan semula hasrat untuk bersara itu.
“Kita tidak harus kehilangan tokoh politik yang betul-betul berjuang untuk memastikan bahawa perubahan itu dapat dijalankan dengan baik.
“Saya sebagai sahabat merayu supaya beliau mempertimbangkan semula hasrat beliau itu supaya rakyat negara ini tidak kehilangan seorang yang mampu memberikan pandangan, idea dan semangat untuk melihat bahawa demokrasi itu dapat dijalankan dengan baik,” katanya.
Sebagai rekod, Aminuddin dan Rafizi antara individu awal yang mendedahkan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) melibatkan keluarga seorang menteri era UmnoBN.
Malah, kedua-dua mereka terpaksa menyamar sebagai peniaga lembu untuk mendapat maklumat awal berkenaan projek tersebut.
Sementara itu, Aminuddin ketika mengulas hasrat Rafizi berkata, pemimpin muda itu adalah seorang tokoh yang mampu ke hadapan lebih jauh dalam arena politik tanah air.
Terdahulu, Rafizi dilaporkan berkata beliau tidak berminat untuk kembali aktif berpolitik buat masa sekarang, dan mengatakan dalam tempoh tiga ke empat tahun ini beliau hanya mahu menjadi rakyat biasa.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Rafizi yang tidak bertanding melakukan jelajah bagi berkempen untuk memenangkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dan banyak melakukan kajian berkaitan kecenderungan pengundi bagi memenangkan HARAPAN melalui Invoke.