Selepas lama berdiam diri, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya bersuara terhadap sikap beberapa pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) yang suka mencetuskan perbalahan.
Dipercayai merujuk kenyataan-kenyataan serta sikap beberapa pemimpin KEADILAN baru-baru ini. Menteri Dalam Negeri itu mengingatkan mereka kembali kepada harapan rakyat ketika memilih untuk pertukaran kerajaan sebelum ini.
“RAKYAT tidak berminat untuk melihat pemimpin parti komponen HARAPAN bersengketa sesama sendiri,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelepasan Bantuan Pasca Banjir anjuran pertubuhan bukan kerajaan belia di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, berlaku pergeseran terbuka dalam KEADILAN setelah pada awalnya Mohamed Azmin Ali tidak dipilih merasmikan Kongres sayap pemuda parti itu yang diadakan.
Namun selepas bertemu Anwar, akhirnya Azmin diberi peluang untuk merasmikan kongres tersebut.
Bagaimanapun susulan dikritik perwakilan terhadap sikapnya, Azmin dan pengikutnya bertindak keluar dewan serta tidak menghadiri majlis penutup kongres itu pada Ahad.
Bagaimanapun, pada sebelah malamnya, Azmin dan penyokongnya mengejutkan ramai apabila berhimpun di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada majlis makan malam.
Sesetengah pihak berandaian majlis itu telah dirancang awal.
Pada majlis itu, Azmin dan Zuraida Kamarudin menggunakan pentas itu untuk melempar kenyataan keras mengkritik parti termasuk Anwar.
Beberapa pemimpin pula selepas itu mengkritik mendesak supaya Zuraida dikenakan tindakan keras termasuk dipecat susulan tindakan provokasinya terhadap parti.
“Yang kita harap ialah dapat membantu rakyat dalam isu ekonomi, kos sara hidup, sediakan peluang pekerjaan yang banyak, sediakan kemudahan kebajikan dan lain-lain.
“Kita mahukan perpaduan yang bantu kita laksanakan amanah dengan lebih berkesan,” tambah Muhyidin mengulas perkembangan tidak selesa dalam KEADILAN.
Sebagai rekod, Azmin ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, namun sejak dilantik, prestasinya dilihat kurang memberangsangkan
Sebelum kemelut dalaman dalam KEADILAN memuncak, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dikaitkan dengan usaha menyingkirkan Amanah dan DAP dari kerajaan dengan mendirikan sebuah kerajaan ‘pintu belakang’ baru.